senyum pun kena bertempat?
Kita selalu dengar. Senyum itu sedekah, senyum umpama suria menerangi alam. Senyum pengubat hati duka, penyeri dalam perhubungan. Senyum bisa menyejukkan hati lawan. Senyumlah ketika hati mahu menangis, senyumlah walau hati merintih hiba. Senyum itu penawar. Senyum itu indah. Senyum itu menawan.
Saya juga suka senyum, sentiasa tersenyum, kate orang, rahsia awet muda, haha.. Namun begitu, saya ada kisah tersendiri di sebalik senyuman ini yang ingin saya kongsikan, seterusnya terserah kepada anda untuk menilai.
Suatu petang yang damai, namun hati saya gundah gulana. Saya di panggil ke bilik Penasihat Akedemik (PA) yang baru di lantik menggantikan PA lama yang telah berpindah universiti. Bagi melaksanakan tanggungjawab yang baru dipikulnya, beliau begitu mengambil berat dengan keputusan akedemik pelajar-pelajarnya. Saya tidak terkecuali. Saya antara pelajar yang mendapat keputusan CGPA yang tidak memuaskan. Keputusan akedemik saya merosot dari semester ke semester. Waktu itu saya di tahun tiga pengajian. Saya juga sudah tiada hati ingin meneruskan pengajian di UTM, tawar, kosong. Terlalu banyak kekecewaan demi kekecewaan. Barangkali. Hati saya sudah tiada di situ. Saya sentiasa mendapat A dalam peperiksaan, tetapi di UTM, saya kenal perkataan baru dalam hidup. GAGAL. Saya benci kegagalan, saya sukar menerima kegagalan. Saya ingin pergi dari UTM, saya tidak mahu terus kekal di UTM.
"Saya takkan lepaskan awak keluar dari UTM, walau apa pun, saya mahu awak tamatkan pengajian di sini"
Beliau memutuskan kata. Saya masih lagi duduk di hadapannya. Waktu itu saya telah mengisi borang permohonan ke Universiti lain. Saya mahu berpindah universiti, keluar dari UTM. Dan saya telah mendapat tawaran ke Uitm Lendu, Melaka. Suatu kerja gila! Mensia-siakan 3 tahun di UTM dalam jurusan yang menjanjikan masa depan yang cerah. Saya sendiri tidak tahu apa yang sedang saya fikirkan waktu itu. Mungkin pengaruh 'dia' menguasai pemikiran saya, pendirian saya waktu itu.
Saya masih lagi duduk di situ, di kerusi di hadapan seorang lelaki yang benar-benar mengambil berat terhadap pelajarnya. Saya gelisah. Tidak tahu mahu berkata apa. Sebelum itu, beliau sudah menyoal siasat latar belakang saya, keluarga saya, adik beradik saya dan sebagainya. Jadi beliau juga percaya, saya adalah satu-satunya harapan keluarga. Beliau masih berhujah. Saya serba tak kena. Jarum jam terasa begitu lambat berlalu.
Dan bila beliau bertegas tidak akan mengizinkan saya ke luar dari UTM, saya bagaikan terjerat. Aduh~ harus bagaimana kata diatur? Dan di saat dia sedang 'mensekolahkan' saya, menyatakan apa yang seharusnya diperkatakan, di hadapan beliau, saya senyum, ya, saya senyum....kerana, hanya itu yang mampu saya lakukan waktu itu.
Dan beliau?
Beliau menjadi bertambah marah, mungkin di benaknya, saya tidak bersungguh-sungguh dengan masa depan saya, saya acuh-tak acuh dengan apa yang sedang dia lafazkan, mungkin bagi dia, saya seorang yang suka berfoya-foya, berseronok dan tidak serius..Wallahua'lam.
"Sekarang awak boleh la senyum, bila dua tiga tahun lagi, bila semua dah terlambat, baru awak akan menyesal!" Beliau menegur saya. Dengan tiba-tiba saya terasa senyuman saya waktu itu adalah senyuman yang paling teruk pernah terukir dari bibir saya. Saya serba salah. Harus bagaimana mimik muka saya pada waktu itu? Adakah sepatutnya saya menangis? Atau masamkan muka? Apa yang sepatutnya saya lakukan? Bukan saya tidak serius, bukan saya main-main, bukan saya tidak endah dengan apa yang dibicarakan! Saya risau, saya yang lebih berhak risau kerana ia melibatkan soal masa depan saya, saya juga takut, saya juga keliru.. Jika boleh, saya ingin menangis, tapi menangis di hadapan Tuan adalah bukan pilihan saya. Saya hanya mampu tersenyum, hanya itu yang saya mampu waktu itu, maafkanlah saya. Kerana reaksi saya sebegitu mungkin telah membuat Tuan kecewa dengan saya. Maafkanlah saya.
Saya cuma sekadar tersenyum bila hati ini sedang menangis. Dan mungkin, bagi sesetengah orang, tindakan ini adalah suatu tindakan yang tidak kena pada tempatnya. Maafkanlah saya.
Baru-baru ini, seorang teman sedang berdukacita, kecewa barangkali dengan kegagalan pasukan kegemarannya yang tewas di tangan Barcalona. Sedih, tak puas hati, kecewa barangkali. Hobi saya pula menyakat. Seronok menyimbah racun pada luka si dia. Dan saya juga terfikir, mungkin dengan menyakat, boleh memujuk dia, supaya tidak lagi bersedih, supaya terhibur. Kebetulan waktu itu, teman rapatnya ditimpa musibah, serba salah juga saya dibuatnya. Saya tahu dia dalam kerungsingan, saya ingin memujuk dia, tapi bagaimana?
Lalu saya terfikir, membuat lawak mugkin boleh membuat dia kembali tersenyum, atau ketawa. Jadi saya memulakan langkah. Argh~ Rupanya, bukan saja gagal menghiburkan dia, malah membuat dia lebih serabut barangkali. Keadaan menjadi lebih teruk. Sungguh, akhirnya saya yang serba salah, kecewa sendirian. Mungkin dia beranggapan saya memandang remeh akan segala hal. Mungkin dia beranggapan saya tidak peka dengan kesusahan orang lain. Mungkin dia beranggapan, saya seorang yang pentingkan diri sendiri. Segalanya mungkin. Dan saya kian tersepit.
Saya ingin menghiburkan hatinya, saya cuba membuat dia kembali tersenyum, ceria. Saya tidak mahu dia bersedih, bermasam muka. Saya tak suka dia kalau dia tidak ceria. Tapi, bagi sesetengah orang, tindakan sebegini adalah tidak bersesuaian pada waktunya. Tidak kena tempat, maafkanlah saya.
Jadi, berdasarkan dua situasi tersebut. Sejauh mana kita harus senyum?
Adakah wajar, kita sekadar tersenyum dengan niat bersedekah tatkala pengemis tua datang menghulur sebuah bekas kosong tanpa satu sen syiling sekali pun?
Adakah wajar, kita tersenyum tatkala sang sahabat sedang menangis ditimpa musibah? Hati kita juga menangis tapi kita tidak mahu dia terus menangis.
Adakah wajar, kita tersenyum bila kita di marahi, senyum itu mampu menyejukkan hati namun bagi sesetengah orang ia di salah tafsir, lalu kian memanaskan hatinya yang sedang bergelora.
Harus bagaimana wajah ini di ukir?
Haruskah, kita sentiasa tersenyum. Saya suka tersenyum, saya sentiasa positif, walau saya sedang menangis, tapi saya suka tersenyum.
Pernah, suatu masa dulu, saya ditimpa musibah yang terlalu berat, dek iman yang tidak kuat, sendirian saya menangis di dalam bilik. Teruk saya menangis, tapi waktu itu saya terlalu lemah, tidak mampu mengawal diri. Saya menangis bersungguh-sungguh, tanpa sedar, suara tangisan saya di dengari ahli blok yang lain.
Mereka berkumpul, beramai-ramai di hadapan bilik saya. Mengetuk bilik saya berkali-kali. Saya terpinga-pinga. Dari dalam saya menangkap bunyi ramai orang di hadapan pintu bilik saya. Saya berhenti menangis, saya sapu airmata. Ketukan masih tidak berhenti. Saya bingkas lalu membuka pintu. Perkara pertama yang saya lakukan waktu itu adalah senyum, walau mata ini bengkak kesan tangisan. Saya senyum. Mereka bertanyakan masalah saya. Kenapa saya menangis? Saya masih tersenyum, lalu geleng-gelengkan kepala. Dalam senyum saya menjawab..
"Saya Ok, takde apa-apa..."
Setelah berpuas hati dengan keadaan saya, mereka pergi meninggalkan saya. Saya menutup kembali pintu bilik. Ya... bukan dusta, saya sentiasa tersenyum dalam tangisan, who cares? i dont care.. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Wallahua'alam.
=story 4rm ukhti Aniza
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment