Search This Blog

Kubur: Permulaan Taman Syurga dan Kawah Neraka.


Hati yang keras umpama karat yang melekat pada besi, jika karat itu nipis memadailah hanya digosok dengan kertas pasir untuk menanggalkannya. Sebagaimana dijelaskan dalam tulisan yang terdahulu, bahawa, dengan menghadiri majlis ilmu, mendekati ulama dan juga menziarah orang sakit atau orang mati, ia akan melembutkan hati.

Kerana mendekati majlis ilmu bererti seseorang itu berusaha mengikis kejahilan, sementara mendampingi ulama pula bererti berusaha mendapatkan kunci ilmu, dan ziarah orang sakit atau orang mati itu akan mendatangkan kesedaran dalam jiwa.

Jika dengan tiga cara itu juga tidak mendatangkan sebarang kesan, ini bererti karat yang melekat di dalam hati sudaah terlalu menebal. Karat yang sudah terlalu tebal tidak mungkin dapat dihilangkan hanya dengan menggosok sahaja, mungkin perlu diketuk dengan kuat ataupun dibakar dengan kepanasan api yang tinggi. Hanya dengan cara demikian segala karat yang tebal itu akan dapat ditanggalkan.

Cara yang dianggap lebih berkesan untuk menanggalkan karat di hati ialah dengan ziarah kubur, ia dilakukan bagi memberi peluang untuk berfikir secara serius, bahawa di sebalik kubur itu terdapat banyak peristiwa suka duka yang bakal ditempuh oleh setiap insan. Hanya ada dua kemungkinan di alam barzakh itu samada ia menjadi tempat istirehat atau tempat bermulanya siksaan sebelum siksaan sebenar di alam neraka kelak.

Jika mampu, lakukan ziarah kubur itu pada malam hari, kerana suasan malam yang kelam dan hening akan menerbitkan berbagai-bagai perasaan takut, ngeri dan insaf. Andainya berkunjung diwaktu siang, sebaiknya lakukan seorang diri supaya dapat memberi tumpuan dan merenung terhadap persoalan alam kubur yang sering dilupakan oleh manusia.

Renunglah diri, sesungguhnya apabila kelak menjadi penghuni kubur, kita hanya bergantung kepada ganjaran pahala dari amalan yang ikhlas, tetapi juga berharap berharap rahmat dari Allah Taala, kerana segala usha ikhtiar sudah berakhir, yang ada hanyalah tiga perkara. Jika mereka memiliki tiga perkara itu, atau drbshsgisn fsrinya, maka dapatlah dia menaruh harapan. Pertama ialah sedekah jariah, kedua ilmu yang memberi manfaat dan ketiga anak yang soleh yang sentiasa mendoakan ibu bapanya.

Allah swt akan membalas setimpal dengan amalan yang telah kita lakukan, “jaza-an bima kanu ya’ malun”. Jika amalan yang dilakukan berupa kebajikan, maka balasannya adalah kebaika, rahmat dan pengampunan, sebaliknya jika maksuat dan perbuatan keji yang menjadi amalan, maka balasannya setimpal dengan kejahatan yang dilakukan iaitu azab yang amat pedih.

Rasulullah saw memberitahu, sesungguhnya kubur adalah permulaan kepada taman syurga atau kawah azab neraka. Bagi orang yang mendapat rahmat dan pengampunan Allah, iaitu mereka yang sentiasa ingat akan Allah semasa hidupnya, dengan melakukan ketaatan, maka kubur baginya adalah lorong sebuah taman yang dipenuhi kenikmatan dan kerehatan.

Tetapi bagi mereka yang melupakan Allah Taala semasa hidupnya, hingga dipenuhi kelalaian dan kemaksiatan, maka kubur baginya adalah permulaan lokap azab sebelum azab sebenar di dalam neraka.

Justeru itu, ziarah kubur mempunyai tujuan-tujuan yang tertentu pertamanya ialah untuk mencari keredhaan Allah, Islam telah menetapkan bahawa ziarah kubur itu adalah di antara perkara yang disunatkan. Kedua, ialah untuk memperbaiki hati kerana ziarah kubur itu bererti mengingati mati, bagi orang yang sentiasa mengingati mati semestinya dia akan berusaha melakukan taat dan menjauhi maksiat dan ketiga ialah untuk mendatangkan manfaat kepada ahli kubut melalui bacaan al-Quran dan doa-doa yang ditujukan kepada mereka.

Walau bagaimanapun, ziarah kubur mesti dengan beradab, antaranya ialah berpakaian serba putih seolah-olah kain kafan. Jangan berjalan atau duduk rehat di dada kubur, kerana kubur bukan tempat rehat. Beri salam dengan ucapan “salamun ‘alaika”, jika tidak menjadi kepayahan eloklah ditanggalkan kasut. Selain itu sekiranya membaca al quran dan doa, hendaklah duduk bertenggong dengan menghadap kea rah matahari terbit, dengan itu seolah-olah sedang berdepan wajah dengan penghuni kubur itu.

Wallahua'alam.


Petikan daripada buku Insan, Ingatlah! hasil karya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,
bab 6 m/s 28-m/s 32

No comments:

Related Posts with Thumbnails